JOAS-Semenanjung bertemu untuk merancang program 2015

Published: 08 February 2015





Lapuran oleh Koong Hui Yein
JOAS | 9 Februari 2015

Perjumpaan ahli dan rakan JOAS Semenanjung di Kampung Sungai Mahang, Negeri Sembilan pada 7hb Februari melakarkan titik permulaan perancangan gerak tindakan tahun 2015 bagi ahli-ahli perintis AJK Bertindak Anti-Empangan, Pembalakan dan Perlombongan; Wanita dan Belia wilayah Semenanjung.

Seramai 28 orang ahli dan rakan yang terdiri daripada suku kaum Orang Asli Jahut, Jakun, Lanoh, Mah Meri, Semai, Temiar, dan Temuan telah menghadiri perjumpaan tersebut di mana mereka telah memberi pelbagai idea dan cadangan untuk hala tuju gerak tindakan JOAS-Semenanjung.

Perjumpaan bermula dengan laporan aktiviti JOAS yang lalu dan pembentangan peruntukan yang sedia ada. Antara beberapa perkara utama yang telah diputuskan dan dibincangkan semasa perjumpaan ini ialah Kempen Anti Pembalakan dan Anti Empangan.

Pelbagai aktiviti seperti membuat bengkel, bantahan kepada pihak tertentu, sidang media dan lain-lain lagi telah dirancangkan untuk menguar-uarkan isu pembalakan dan empangan yang membawa kesan buruk kepada kehidupan Orang Asli.

Selain itu, 4 Latihan Wanita akan diadakan di Selangor, Pahang, Kelantan, dan Melaka di mana latihan ini ditujukan untuk mengukuhkan jaringan Wanita JOAS dan membina kepimpinan wanita Orang Asal.

Puan Rosiah yang mewakili Tompoq Tompoh, Kampung Sungai Bumbun telah dilanti sebagai 'Menteri' Wanita JOAS Semenanjung.

Rosiah berkongsikan pengalaman bagaimana dia telah memberanikan diri selepas beberapa latihan Wanita JOAS terutamanya semesa mengendalikan kes Roslan di mana Roslan telah ditahan oleh polis apabila ada penceroboh memasuki tanah adat Roslan.

Aktiviti pemetaan wilayah adat dan lawatan pendedahan di bawah program Belia JOAS telah dibentangkan oleh saudari Sabariah (Mia). 15 orang Peserta dari Semenanjung akan menghadiri latihan peringkat kebangsaan di Sabah sebelum mereka memulakan projek pemetaan Wilayah Adat di Semenanjung.

Tujuan projek tersebut bukan sahaja untuk meningkatkan bilangan peta komuniti tetapi juga salah satu cara untuk melibatkan lebih ramai belia Orang Asal dalam perjuangan secara aktif melalui kegiatan yang praktikal dan juga membantu belia untuk memahami kepentingan sempadan Wilayah Adat dalam makhamah, sistem perundangan dan polisi.

Perkara lain yang dibincangkan termasuk Latihan Pelatih UNDRIP Peringkat Kebangsaan, Perayaan Hari Orang Asal Sedunia (PHOAS) 2015, Seminar Kanak-Kanak dan juga Mesyuarat Agong yang akan datang.

Perwakilan untuk Mesyuarat Agong juga turut dibincangkan di mana mereka telah memberi cadangan nama wakil untuk diletakkan di bawah Jawatankuasa Pemandu JOAS.

Perjumpaan tersebut telah diakhiri oleh ucapan penutup oleh Pengerusi AJK Bertindak – En.Zurdi dan juga Naib Pengerusi – En.Panjang Pandak. Secara am, perjumpaan tersebut telah menjadi satu platform yang baik terutamanya bagi ahli-ahli AJK Bertindak supaya mereka dapat membincang dan membuat gerak tindakan untuk isu-isu tertentu.

Saudara Rahman dari Gerik turut membentangkan harapannya untuk menyertai AJK Bertindak dan semua rakan telah setuju atas permintaannya untuk menjadi wakil Perak di bawah AJK tersebut.

Kita berharap bahawa dengan wujudnya kumpulan seperti AJK Bertindak, Wanita-JOAS, dan Belia JOAS, perjuangan Orang Asli dapat digiatkan lagi dan lebih ramai memahami dan menyokong Orang Asli.

Salam perjuangan kita ucapkan kepada semua rakan-rakan yang akan giat bertindak pada tahun ini.

Untuk album foto program ini, sila klik di sini:  Pertemuan JOAS-Semenanjung di Sg Mahang